Ahlan Wa Sahlan | Welcome | Selamat Datang

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Blog ini masih dalam pembinaan. Sebarang cadangan dan komen untuk penambahbaikan adalah dialu-alukan. Terima kasih.

Friday, November 18, 2011

Selamat Bercuti!

Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan bagi sesi 2011. Tiada aktiviti P&P tetapi semua warga menghadiri Perhimpunan Akhir di Dewan Makan. Selesai sarapan bersama guru, sesi penyampaian hadiah kepada pelajar yang telah menyertai pertandingan selepas peperiksaan akhir tahun.

Seperti yang telah diwar-warkan, pelajar juga telah menerima wang bantuan persekolahan sebanyak RM100 seorang. Diharapkan wang tersebut dapat digunakan mengikut tujuan yang sepatutnya oleh pelajar. 
Di akhir majlis, suasana bertukar wajah. Tergambar kesedihan dan pilu di wajah anak-anak pelajar apabila mendengar ucapan rasmi terakhir dari PK Pentadbiran, Pn Hjh Bainah Ab Dollah yang akan bertukar ke Kinta Selatan kerana kenaikan pangkat sebagai Pengetua di sana. Beliau merupakan seorang pendidik yang penyayang dan mudah mesra dengan semua warga sekolah. Sebagai pentadbir, beliau terkenal dengan kelantangan hujah, tegas dalam keputusan dan berfikiran jauh dalam merealisasikan visi sekolah ke arah kecemerlangan yang dicitakan.

Seluruh warga SMKASAS mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada beliau. Kami percaya, walau di mana beliau berada, pasti akan ada kecemerlangan yang tercipta. Semoga perpisahan ini menjadikan semua guru dan pelajar lebih kuat dan dapat berdiri dengan lebih teguh walau insan hebat ini tidak lagi bersama kita pada masa akan datang.
Selamat bercuti kepada semua guru dan pelajar. Jaga keselamatan diri walau di mana anda berada. Semoga sentiasa berada di bawah lindungan kasih sayang dan rahmatNya. Amin!

Thursday, November 17, 2011

SMKASAS : Selangkah ke Antarabangsa




Pada 11 November 2011 (11.11.11), SMKASAS dengan bangganya telah menerima kunjungan delegasi dari Indonesia untuk menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) di peringkat antarabangsa sebagai salah satu aktiviti jaringan Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Delegasi diketuai oleh Pengetua SMA Muhammadiyyah 1, Yogyakarta, Indonesia bersama 2 orang pengiring. Sekitar jam 9.30 pagi, delegasi tiba di SMKASAS dan disambut meriah oleh seluruh warga sekolah. Acara bermula dengan lintas hormat oleh pasukan unit beruniform (KRS, PKBM, PPIM dan Pengakap). Seterusnya, delegasi bergerak ke Dewan Kluster memandangkan dewan besar telah ditutup sebagai persediaan peperiksaan SPM.

Delegasi tersebut yang diiringi juga oleh para pegawai Jabatan Pelajaran Perak dan PPD Perak Tengah telah dipersembahkan dengan tayangan slaid yang berkisar tentang perjalanan SMKASAS sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan. Seterusnya, majlis bersejarah ini merakamkan termeterainya Perjanjian Persefahaman (MOU) di antara SMKASAS dan SMA Muhammadiyyah 1, Yogyakarta, Indonesia. 

Di kesempatan ini, pihak sekolah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis tersebut.
Tahniah, SMKASAS!